SELANGOR

Tanam cili lebih baik daripada ganja – Khairuddin

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 MAC: Mohd Khairuddin Othman menegaskan Kerajaan Negeri komited untuk memastikan anak muda di negeri ini tidak terbabit penyalahgunaan dadah.

EXCO Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan itu berkata, terdapat banyak lagi tanaman yang lebih berfaedah termasuk menanam cili berbanding penanaman ganja bagi tujuan perubatan.

Katanya, walaupun sebelum ini Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok, Dr Idris Ahmad menyebut penggunaan dadah dalam perubatan tetapi kini ia disalahgunakan.

“Remaja di Malaysia ini terlalu kreatif, orang beri mercun buat main bunga api hari raya dia buat meriam. Dalam soalan Ijok ada cakap bahawa dadah sebelum ini digunakan sebagai perubatan tetapi masa kini ia disalahgunakan.

“Saya ingin memberitahu Yang Berhormat, sekarang Yang Berhormat hidup dalam zaman ini, bukan zaman dahulu,” katanya ketika sesi penggulungan pembahasan pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Beliau berkata, walaupun tidak menafikan kebaikan penggunaan bahan jenis ganja untuk perubatan namun peruntukan undang-undang jelas menyebut mengenai hukuman terhadap pihak yang didapati menanam pokok ganja.

Katanya, Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 secara jelas menyebut pihak yang menanam pokok ganja atau pokok yang boleh menghasilkan candu mentah boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan tidak kurang enam sebatan.

Mohd Khairuddin berkata, Kerajaan Negeri mempunyai banyak program menangani masalah dadah menerusi perbincangan bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) termasuk mengkaji untuk mengadakan program ganjaran dan pelaporan (reward and report).

“Kita mahu maklumat sampai kepada kita dan ada tindakan tegas terhadap penagih dadah ini.

“Selangor sehingga 2017 mempunyai seramai 2,305 penagih dadah dan masih dalam kawalan.

“Kita ingin kekal dalam nombor yang kita boleh kawal dan tidak mahu ada unsur yang boleh mendedahkan anak muda kita kepada dadah,” katanya.


Pengarang :