SELANGOR

Tangani fahaman liberalisme pejuang LGBT

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 MAC: Fahaman liberalisme yang memperjuangkan hak kesamarataan sehingga membawa budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) perlu ditangani segera.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, budaya LGBT perlu ditangani dengan lebih berkesan supaya ia tidak menjadi satu ikutan atau ‘trend’.

“Yang pastinya, ia akan merosakkan masyarakat Islam di negara ini.

“Ancaman sebegini merupakan api dalam sekam yang sedang memusnahkan Islam dan pengikutnya dari dalam,” titah baginda menerusi kenyataan ringkas di Facebook Selangor Royal Official, semalam.

Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam kenyataan tegas menolak sebarang usaha untuk mengiktiraf LGBT, di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, pendirian itu selaras kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa Malaysia tidak boleh menerima sistem nilai yang diamalkan di negara barat iaitu LGBT dan perkahwinan sejenis.

Pada Sabtu lalu, sebuah perarakan sempena Hari Wanita Sedunia, di ibu kota dicemari penyokong LGBT yang menuntut supaya golongan itu diberikan hak sama rata, seperti rakyat Malaysia lain.

Mereka melaungkan perkataan ‘Hidup wanita! Hidup, hidup! LGBT!’ semasa berarak dan membawa bendera warna pelangi pelbagai saiz yang juga simbol golongan terbabit.

 


Pengarang :