NASIONAL

Tempoh reman suspek kematian Nur Aisyah Aleya disambung

LANGKAWI, 13 MAC: Tempoh reman terhadap dua suspek utama berhubung kes penemuan mayat kanak-kanak perempuan tiga tahun di dalam sebuah gaung di Gunung Raya, minggu lalu disambung tujuh hari hingga 20 Mac ini bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, pasangan suami isteri berusia 37 dan 40 tahun itu direman bermula Khamis lalu (7 Mac) bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata, perintah reman itu dikeluarkan Pegawai Daerah Langkawi, Muhamad Arof Darus.

“Muhamad Arof membenarkan permohonan reman itu disambung yang akan berakhir Rabu depan (20 Mac) di Lokap Berpusat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Langkawi di sini hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 6 Mac lalu, polis hanya menemui tengkorak dan sedikit cebisan rambut Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang oleh ibu kandungnya semasa dalam jagaan pasangan terbabit.

Tengkorak dan cebisan mayat kanak-kanak yang dipercayai dibunuh itu ditemui selepas suspek lelaki berusia 37 tahun yang ditahan berkaitan kes berkenaan membawa polis ke lokasi di mana mayatnya dikatakan dibuang.

Sehari kemudian (7 Mac), operasi mencari saki-baki anggota badan mayat yang dipercayai Nur Aisyah Aleya di lokasi sama menemukan dua gumpalan rambut serta dua batang gigi. -BERNAMA


Pengarang :