NASIONAL

Tiada diskriminasi dalam angkatan tentera

SHAH ALAM, 9 MAC: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu memberi jaminan tiada diskriminasi dalam angkatan tentera dan anggota yang tekun akan mendapat ganjaran setimpal.

Katanya, anggota yang berdisiplin dan rajin akan dinaikkan pangkat dan beliau melihat sendiri perkara itu sejak mengetuai kementerian terbabit.

“Saya harap semua kaum akan menyertai angkatan tentera kerana kita rakyat Malaysia. Tanggungjawab mengekalkan keselamatan tidak terletak pada satu kaum sahaja tetapi semua warga,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Terdahulu, beliau menyertai sesi dialog bersama Sinar Harian yang dikendalikan pengacara, Johan Jaafar.

Dalam dialog sama, Mohamad turut mengakui bilangan anggota baru dari kaum Cina masih rendah.

“Kami akan meneruskan kempen. Kami tahu kadar kemasukan dalam kalangan masyarakat India tinggi tetapi dalam kalangan Cina, kita harap lebih ramai (yang menyertai angkatan tentera),” katanya.

Berkenaan beberapa cabaran yang dihadapi tentera, beliau berkata, perumahan adalah isu besar bagi anggota dan usaha untuk menambah baik keadaan itu sedang berjalan.

Beliau berkata, Kerajaan Pusat pada masa ini berdepan kekangan belanjawan, namun yakin lebih banyak dana akan diberikan apabila keadaan ekonomi bertambah baik.

“Baru-baru ini, Kabinet diberi taklimat oleh menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkenaan berhubung pelaburan asing yang kian meningkat.

“Kami berharap ekonomi akan bertambah baik untuk beberapa tahun akan datang dan (maka) dana untuk tentera, termasuk perumahan akan bertambah,” katanya.

 


Pengarang :