NASIONAL

Tiada IC, Roisah sukar laksana urusan harian

OLEH SHEEDA FATHIL

PUTRAJAYA, 28 MAC: Ekoran tidak memiliki kad pengenalan diri (IC), seorang pelajar pintar yang menetap di negara ini berdepan pelbagai kesukaran dalam melakukan urusan harian.

Berkongsi detik sukar itu, Roisah Abdullah, 22, yang aktif dalam kokurikulum di sekolah suatu ketika dahulu terpaksa melupakan hasratnya menyertai sebarang aktiviti luar kerana tidak mempunyai IC.

Tambah menyedihkan, jika sakit, dia terpaksa mendapatkan rawatan di klinik swasta yang menelan kos tinggi.

Menceritakan bagaimana dia boleh bersekolah, Roisah memaklumkan penjaganya membuat permohonan ke Jabatan Pendidikan dan pihaknya perlu membayar levi.

“Semasa sekolah rendah, saya boleh bersekolah seperti biasa kerana tidak memerlukan IC tetapi masuk tingkatan satu penjaga saya membuat permohonan di Jabatan Pendidikan dan kami perlu membayar caj levi setiap tahun sejumlah RM240.

“Cuma, saya sedikit terkilan apabila tidak dapat menyambungkan pengajian ke universiti awam kerana permohonan sebagai warganegara belum diterima pada masa itu,” katanya.

Beliau yang kini melanjutkan pengajian di Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Akauntan pernah ditawarkan di Universiti Utara Malaysia, namun hasrat itu terpaksa dilupakannya kerana status tidak sah sebagai warganegara Malaysia.

Roisah tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi walaupun memperoleh 3A 1B dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), mencatat 7A dan 1B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Terdahulu, Roisah menerima surat kelulusan kewarganegaraan daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, yang juga ibu angkatnya di Kementerian Dalam Negeri, di sini, hari ini.


Pengarang :