SELANGOR

Tiada kes baharu chikungunya di Tanjung Sepat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 MAC: Tiada kes baharu membabitkan wabak chikungunya dilaporkan di Tanjung Sepat sehingga hari ini, kata Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah.

Beliau berkata, keadaan semakin terkawal ekoran penduduk sentiasa berjaga-jaga termasuk mengambil langkah keselamatan seperti mengurangkan aktiviti luar rumah terutama pada waktu petang.

“Walaupun keadaan mula stabil, namun kita tetap melakukan pemantauan rapi dan terbaru penduduk turut menjalankan kerja gotong-royong secara besar-besaran.

“Saya berharap keadaan terus stabil memandangkan sebelum ini Tanjung Sepat mencatatkan kes chikungunya tertinggi dalam negara,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 11 Februari lalu, SelangorKini melaporkan Tanjung Sepat mencatatkan 23 kes chikungunya, sekali gus menjadikan Selangor paling tinggi mencatatkan kes berkenaan.

Ia diikuti Melaka dengan sembilan kes, Kelantan (enam) dan satu kes, di Perlis.

Jumlah kes itu direkodkan bermula dari 29 Januari hingga 7 Februari lalu.

 


Pengarang :