NASIONAL

Tiada kesan Adib ditarik keluar secara paksa – Pakar

SHAH ALAM, 26 MAC: Seorang pakar perubatan forensik berkata, tiada kesan kecederaan menunjukkan bahawa anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, ditarik keluar secara paksa daripada van bomba dinaikinya dalam kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, November tahun lepas.

Dr Ahmad Hafizam Hasmi, 40, dari Hospital Kuala Lumpur berkata, sekiranya seseorang ditarik keluar secara paksa, sering kali akan terdapat kecederaan kesan genggaman pada bahagian ditarik.

“Daripada bedah siasat, tiada kecederaan pada anggota kiri si mati yang menunjukkan adanya kecederaan ditarik oleh orang. Untuk seseorang ditarik secara paksa, ada kesan ‘cengkaman’ pada bahagian ditarik itu.

Tetapi dalam kes ini, tiada sebarang kesan pada anggota atas kiri si mati,” katanya ketika menjawab soalan pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah pada prosiding inkues kematian Muhammad Adib, di sini hari ini.

Beliau juga berkata, tiada kesan kecederaan menunjukkan bahawa baju atau bahagian kolar pakaian anggota bomba itu ditarik.

Hamdan: Bagaimana kalau tarikan kolar?

Saksi: Ada kecederaan tapi bukan disebabkan tarikan langsung. Jika ditarik kolar, akan berlaku geseran kulit pada leher. Kes ini tiada kecederaan sebegitu,” katanya.

Beliau berkata, adalah mustahil kepatahan tulang rusuk kiri mangsa disebabkan dipukul dengan belakang parang, dalam keadaan anggota bomba itu berdiri.

Ini, kerana, katanya, untuk menyebabkan kepatahan itu, mangsa perlu berada dalam keadaan menegak dan objek itu juga dalam posisi sama.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember tahun lepas di Institut Jantung Negara (IJN).

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :