NASIONAL

Tidak perlu isytihar darurat di Pasir Gudang

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Usaha pengurusan dan mitigasi di Pasir Gudang yang terjejas dengan pencemaran bahan kimia membabitkan pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan seperti situasi darurat, walaupun setakat ini tiada keperluan mengisytiharkan darurat, di kawasan itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin berkata, antara agensi Kerajaan Persekutuan terbabit ialah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Alam Sekitar.

Turut terbabit dalam operasi pengurusan krisis itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat), Jabatan Pengaliran dan Saliran dan Kementerian Pendidikan yang berada di lokasi kejadian bagi tujuan operasi.

“Krisis itu sedang ditangani Kerajaan Negeri dan sehingga kini ia (Kerajaan Negeri) tidak meminta kebenaran daripada Kerajaan Pusat untuk mengisytiharkan darurat.

“Buat masa ini kami diberitahu, mereka kata boleh lagi mereka selesai, tidak perlu rujuk kepada Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan pengisytiharan darurat di bawah arahan Majlis Keselamatan Negara, arahan 20,” katanya menggulung perbahasan usul tergempar untuk mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang.

Usul tergempar itu dikemukakan Hassan Abdul Kasim (PH-Pasir Gudang), dibahaskan oleh empat anggota Parlimen dan digulung enam Menteri berkaitan.

Hanipa berkata Jawatankuasa Pengurusan Negeri Johor yang bermesyuarat pada Rabu telah membuat keputusan bahawa Kerajaan Negeri masih boleh mengawal dan menangani isu ini.

Katanya, agensi-agensi yang terlibat dalam pengurusan krisis itu juga berpandangan tahap isu masih belum mencapai tahap bencana untuk diisytiharkan darurat bencana.

“Kerajaan Persekutuan juga bersetuju memberi peruntukan RM8 juta untuk kerja-kerja pembersihan sungai yang terlibat dengan secepat munngkin.

“Bantuan wang ihsan juga akan diberi kepada setiap keluarga yang terlibat dalam bencana itu berdasarkan senarai yang telah diputuskan oleh pegawai daerah,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :