Tindakan pengusiran penyewa gagal patuh peraturan PPR | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Norway

Wartawan

Zareef Muzammil

Tindakan pengusiran penyewa gagal patuh peraturan PPR

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 MAC: Kerajaan Negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan pengusiran ke atas penyewa tegar yang enggan mematuhi peraturan pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Selangor.

EXCO Perumahan Dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, tindakan itu akan dikenakan terhadap mana-mana penyewa yang gagal mematuhi syarat kontrak penyewaan perlu diperbaharui setiap tahun.


Justeru, katanya, Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasa Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sudah menjalankan pengusiran fasa pertama, sejak 12 Februari lalu terhadap 10 unit di PPR Kota Damansara dan lima unit di PPR Hicom, Shah Alam.

“Tindakan penguatkuasaan ini dijalankan ke atas penyewa yang membuat bayaran secara tidak konsisten dan mempunyai tunggakan sewa bulan setinggi RM25,250, terbabit dengan aktiviti sewa atas sewa serta menceroboh unit kosong juga bukan penama asal yang menduduki unit terbabit.

“Ia dijalankan selepas notis peringatan dikeluarkan secara berulang kali tetapi tidak diendahkan penyewa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemutihan PPR di sekitar Selangor di Lobi Dewan Annex, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS), Sr Nazmi Osman.

Mengulas lanjut, Haniza berkata, tindakan penguatkuasaan itu adalah bagi memberi laluan kepada pemohon yang sudah lama menunggu giliran dan lebih layak untuk menghuni unit terbabit.

Katanya, Kerajaan Negeri memiliki tiga PPR di bawah seliaan PHSSB terletak di tiga lokasi iaitu Kota Damansara, Kampung Baru Hicom Shah Alam dan Serendah dengan kadar sewaan RM250 sebulan.

“Setakat Februari lalu, unit kosong di PPR Kota Damansara adalah sebanyak 11 unit, PPR Hicom (36 unit) dan PPR Serendah (170 unit) manakala sebahagian daripada unit kosong di PPR Serendah sedang dibaikpulih bagi memberi laluan kepada pemohon.

“Bagaimanapun, unit kosong di PPR Kota Damansara dan PPR Hicom sudah ditawarkan kepada penyewa dan menunggu untuk kemasukan selepas menjalani sesi temuduga, pada 19 Mac lalu.

“Jumlah permohonan yang masih menunggu bagi PPR Kota Damansara, PPR Hicom dan PPR Serendah masing-masing sebanyak 203, 440 dan 213 permohonan,” katanya.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next