JOHOR BAHRU, 13 Mac — Petugas dan anggota Rela membantu seorang wanita yang pengsan ketika hendak mendapatkan rawatan awal di Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih hari ini. Dewan komuniti itu mula dibuka sejak Ahad lepas bagi memberi rawatan awal kepada orang ramai yang mengalami sesak nafas, loya atau muntah sebelum mereka yang memerlukan rawatan lanjut dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI). ?–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA?
NASIONAL

Tingkat penguatkuasaan pantau tahap pencemaran sungai

JOHOR BAHRU, 16 MAC: Agensi berkaitan dan pihak berkuasa tempatan perlu mempertingkatkan lagi langkah penguatkuasaan mereka dalam memantau tahap pencemaran di semua sungai, di negeri ini.

Presiden Persatuan Alam Sekitar Malaysia, Vincent Chow yang membuat gesaan demikian berkata, langkah pemerkasaan perlu kerana penguatkuasaan sedia ada kurang berkesan dalam menangani masalah berkenaan

Katanya, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, beliau mendapat banyak aduan daripada masyarakat setempat berhubung pencemaran di kawasan mereka, namun tiada tindakan konkrit diambil pihak berkenaan dalam menyelesaikan isu terbabit.

“Kekurangan kehadiran mereka (penguat kuasa) untuk memantau pencemaran tidak hanya berlaku di Sungai Kim Kim, malah di sungai lain.

“Ini adalah satu kelemahan besar dan saya percaya kejadian ini merupakan tamparan kepada pihak-pihak terlibat bagi memperingkatkan keanggotaan mereka yang membuat pemantauan,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Chow berkata, bagi mengelak insiden pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim berulang, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak-pihak yang berkenaan perlu mengambil serius setiap aduan yang dibuat penduduk berhubung pencemaran.

“Jika penduduk atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat aduan, bermakna perkara yang diadu memang berlaku.

“Pergi siasat dan adakan pertemuan dengan penduduk supaya kita tahu gambaran yang sebenar. Ini kerana ada perkara kita tidak boleh buat rumusan ringkas, sebaliknya perlu menyeluruh,” kata beliau. –BERNAMA


Pengarang :