SELANGOR

Tingkat prestasi PBT melalui ‘Townhall Meeting’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 20 MAC: Sesi ‘Townhall Meeting’ sudah mula dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor sebagai usaha meningkatkan prestasi dan kepekaan terhadap masalah rakyat.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, mekanisme itu juga bagi mendengar masalah setempat selain menerima pandangan umum berdasarkan isu dan keperluan semasa.

“Pada 2018, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengadakan townhall bajet 2019, manakala Majlis Perbandaran Sepang mengadakan sesi townhall bersama komuniti zon.

“Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pula mengadakan sesi townhall bersama Ahli Majlis Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 24.

“PBT mengambil inisiatif dengan mengadakan program Hari Bertemu Pelanggan bagi mendekati penduduk setempat secara terus atau bersemuka dan memberi peluang kepada orang ramai serta pihak berkepentingan (stake holder) untuk menyalurkan aduan, komen juga saranan untuk penambah baikan perkhidmatan PBT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mulut Ahli Dewan Negeri Sungai Ramal, Mazwan Johar berhubung cadangan pelaksanaan sesi townhall terbuka kepada orang awam secara berkala, di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Bagi menambah baik sistem penyampaian PBT, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut memutuskan supaya PBT berstatus Bandaraya memperuntukkan RM3 juta, manakala RM1 juta berstatus Perbandaran melalui program ‘Community Engagement’.

Katanya, program itu adalah salah satu usaha meningkatkan penglibatan komuniti setempat di dalam sesuatu projek atau program.

“Dengan program ini, PBT dapat memastikan peranan dan pandangan komuniti turut di ambil kira dalam sesuatu projek atau program,” katanya

 


Pengarang :