NASIONAL

TPM NZ mulakan lawatan kerja dua hari ke Malaysia

SEPANG, 26 MAC: Timbalan Perdana Menteri New Zealand, Winston Peters, tiba hari ini untuk memulakan lawatan kerja dua hari ke Malaysia.

Pesawat komersial yang membawa Peters, yang juga Menteri Luar, dan delegasinya mendarat di Lapangan Terbang Antarbangsa KL pada 8 malam.

Peters disambut oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming, yang juga Menteri Pengiring.

Wisma Putra, dalam satu kenyataan berkata, Peters dijadual mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Anggota Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.

“Lawatan ini menyediakan peluang bagi kedua-dua negara meneroka cara untuk mengukuhkan kerjasama dua hala sedia ada dalam pelbagai bidang seperti perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan, pertahanan dan hubungan antara rakyat,” menurut kenyataan itu, lapor BERNAMA.

Berikutan serangan pengganas di dua masjid di Christchurch pada 15 Mac, kedua-dua pihak juga dijangka membincangkan cara untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dalam memerangi keganasan.

Seorang remaja Malaysia terbunuh manakala tiga lagi rakyat Malaysia cedera dalam serangan di New Zealand itu yang mengakibatkan 50 orang terbunuh dan 42 orang cedera.

FOTO: BERNAMA


Pengarang :