BERITA UTAMAGLOBALNASIONAL

Tragedi Christchurch: New Zealand ubah undang-undang senjata api

WELLINGTON, 16 MAC: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, mengulangi keputusan bahawa undang-undang senjata ​​​​​​​negara itu akan diubah, lapor agensi berita Xinhua.

Langkah itu susulan insiden serangan bersenjata di dua buah masjid di bandar kedua terbesar, Christchurch.

Lima senjata ditemui, dua ​​​​​​​daripadanya separa automatik dan difahamkan penyerang mempunyai lesen senjata yang sah.

“Kita akan ubah Undang-undang senjata,” katanya.

Setakat ini, tiga suspek ditahan dan kesemuanya warga Australia. ​​​​​​​Ketiga-tiga suspek itu tiada dalam senarai dikehendaki ​​​​​​​kerajaan New Zealand atau Australia.

Seorang suspek lelaki dikenali Brenton Tarrant, 28, dihadapkan ke Mahkamah Daerah Christchurch, pada Sabtu pagi atas dakwaan membunuh.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Bandar Christchurch, Lianne ​​​​​​​Dalziel mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

“Serangan terhadap komuniti Muslim bermakna ia juga serangan terhadap kami di Christchurch dan New Zealand,” katanya.

Semua acara rasmi di seluruh negara dibatalkan.

Sekurang-kurangnya 49 mangsa tidak berdosa maut dalam kejadian, pada ​​​​​​​Jumaat itu manakala 48 lagi cedera. -BERNAMA


Pengarang :