SELANGOR

Tubuh jawatankuasa khas pantau harga rumah di Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 MAC: Kerajaan Negeri kini dalam perancangan mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memantau harga unit perumahan, khususnya Rumah Selangorku dalam masa terdekat.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha berkata, jawatankuasa khas itu akan bertanggungjawab memantau margin keuntungan sebenar yang diperoleh pemaju berdasarkan harga jualan dengan kos pembinaan.

“Kita ada menerima rungutan daripada pemaju mengatakan harga rumah kini semakin meningkat kerana mereka terpaksa menanggung kos tertentu. Disebabkan itu, kita wujudkan jawatankuasa khas berkenaan untuk pantau situasinya.

“Kita tidak mahu (pembeli) terperangkap dengan maklumat mengatakan harga rumah semakin hari semakin naik. Kita juga akan menilai statistik (permintaan) terhadap rumah di bawah harga RM250,000,” katanya semasa berucap pada Majlis Jalinan Mesra bersama Media, di Hotel De Palma, di sini, semalam.

Beliau berkata, langkah itu dilihat penting buat masa kini bagi mengelakkan pembeli rumah ‘terperangkap’ dengan pandangan harga rumah yang semakin meningkat.

Katanya, usaha itu dilihat mampu membolehkan lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri mengikut kemampuan isi rumah.

Dalam ucapan sama, Haniza berkata, pihaknya turut menyasarkan untuk memulihkan lebih 20,000 unit rumah terbengkalai di seluruh negeri, mulai tahun ini.

“Kita akan menubuhkan jawatankuasa kecil pemulihan projek terbengkalai di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memulihara projek yang dikesan terbiar sejak sekian lama.

“Langkah itu juga akan memudahkan PBT memantau perkembangan pembangunan projek perumahan supaya tidak meningkatkan jumlah projek terbengkalai pada masa depan,” katanya.


Pengarang :