BERITA UTAMASELANGOR

Ubah tradisi, wanita perlu ke hadapan

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Wanita bukan lagi dilihat untuk duduk di belakang, sebaliknya perlu dididik sehingga mampu menjadi modal insan berilmu dan berakhlak mulia.

Isteri kepada Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad berkata, peranan wanita kini sudah jelas berubah daripada fungsi tradisionalnya.

“Saya ingin menyeru wanita melakukan pembaharuan selaras peralihan teknologi dan kemajuan negara melalui inovasi dasar negara masa kini.

“Dengan perubahan zaman dan cabaran semasa, usaha secara bersepadu amat diperlukan supaya dapat menyumbang kepada kejayaan wanita, sekali gus kejayaan institusi kekeluargaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup International Winning Women’s Day 2019 anjuran ADLA Group Sdn Bhd (ADLA) di Dewan Perdana Felda, D’ Saji Keramat, di sini.

Beliau yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) berkata, inisiatif ADLA giat membuka ruang dan landasan khusus buat wanita mendapatkan ilmu dan berkongsi maklumat seharusnya dipuji.

“Saya optimis inisiatif dilaksanakan ADLA tidak terhenti di sini sahaja, sebaliknya dapat diteruskan demi membantu wanita untuk terus berjaya dan sentiasa kehadapan.

“Justeru, dengan pelbagai cabaran baharu pada masa kini, ia menuntut kita untuk sentiasa meneroka ilmu, melakukan inovasi dan berusaha melangkaui sempadan kecemerlangan,” katanya.

ADLA atau “Advisory, Development, Learning & Achievement” adalah institusi latihan yang memfokuskan kepada keseimbangan kerja untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja, korporat, individu serta usahawan.

Ditubuhkan pada Januari 2016 di Ampang, ia diasaskan Datin Dr Leez Hassan, seorang usahawan, penulis dan ibu kepada enam orang anak.

Difahamkam, ADLA tercetus apabila Dr Leez mempunyai minat untuk membantu usahawan mempelajari dan mengembangkan ilmu keusahawanan, sekali gus berjaya dalam perniagaan serta kehidupan.


Pengarang :