UKM cipta peranti arah kiblat mudah alih | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Norway

Wartawan

Nadiah Zamlus

UKM cipta peranti arah kiblat mudah alih

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 MAC: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencatat sejarah apabila berjaya mencipta penentu arah kiblat mudah alih dengan inovasi terkini dinamakan InnoQibla.

Pensyarah Pusat Kejuruteraan Elektronik & Komunikasi Terkehadapan (PAKET) UKM, Prof Madya Ir Dr Norhana Arsad berkata, peranti dicipta penyelidik Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) itu sekali gus meletakkan UKM sebagai universiti pertama yang telah menfailkan harta intelek bagi alatan berkenaan.


Katanya, teknologi itu bermula pada 2012 selepas melihat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menentukan arah kiblat di surau bangunan pentadbiran FKAB.

“Melihatkan tatacara itu, kami mula melakukan penyelidikan dan telah membangunkan satu prototaip yang memindahkan arah kiblat dari luar ke dalam bangunan menggunakan laser.

“Projek penyelidikan ini telah mendapat beberapa dana termasuk Dana Inovasi UKM diuruskan Pusat Inovasi Kolaboratif (PIK),” katanya.

Beliau berkata, InnoQibla hanya mengambil masa kira-kira 10 minit dalam menentukan arah kiblat manakala kaedah sedia ada akan mengambil masa bergantung kepada cuaca semasa.

Katanya, sementara aplikasi arah kiblat di telefon bimbit dan kompas mudah terganggu dengan medan elektromagnet dan menyebabkan ia bergerak tanpa arah sebenar.

“Projek ini mendapat kerjasama JAKIM serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi keberkesanan penentuan arah kiblat juga telah diuji di tiga lokasi terpilih iaitu Pulau Pinang, Kelantan dan Port Dickson.

“Hasilnya amat memuaskan kedua-dua pihak JAKIM dan JUPEM. Setakat ini, reka cipta terbabit telah berjaya dikomersialkan melalui perlesenan teknologi kepada Syarikat Istidamah Resources Sdn Bhd melalui UKM Technology Sdn Bhd dengan bantuan PIK,” katanya.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next