NASIONAL

UniMAP sedia kerjasama bangunkan kereta terbang

ARAU, 10 MAC: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sedia bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan pelbagai agensi dalam usaha membangun kereta terbang, di negara ini berdasarkan kepakaran sedia ada yang dimiliki pusat pengajian tinggi itu.

Naib Canselornya, Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata, kereta terbang atau ‘aeromobile’ bukan sesuatu yang mustahil direalisasikan di Malaysia, seiring perkembangan teknologi yang kian pesat, pada abad ini.

“Kereta terbang antara lainnya hampir menyamai fungsi dron. Ia maampu dibangunkan dan memerlukan peruntukan serta bajet tinggi memandangkan ia membabitkan penggunaan teknologi sistem tanpa pemandu (UAS) yang terkini,” katanya kepada Bernama.

Katanya, Pusat Kecemerlangan Sistem Tanpa Pemandu (COEUAS) yang diterajui Prof Dr Hazry Desa, sememangnya adalah hab penyelidikan yang memberi fokus kepada teknologi UAS.

“UniMAP bersedia memberikan kepakaran untuk idea ini dan bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam aspek perpindahan teknologi secara bersepadu.

“Jika ia mampu direalisasikan, pasti kita mampu untuk melihat kewujudan kereta terbang di negara ini, sekali gus menjadi kebanggaan negara,” katanya.

Bagaimanapun, Zul Azhar berkata, dalam merealisasikan hasrat itu, kerajaan perlu menyediakan peruntukan dalam bentuk dana kewangan mencukupi dan membuka peluang serta ruang kepada rakyat, di negara ini untuk turut menyumbang idea.

Katanya, usaha giat perlu dikemukakan secara berfasa dan semua pihak harus menyokong inovasi serta penciptaan warga tempatan dalam UAS kerana tidak mustahil Malaysia mencapai kejayaan lebih tinggi termasuk membangunkan kereta terbang.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Md Yusof berkata, prototaip kereta terbang pertama Malaysia dijangka diperkenalkan kepada awam, tahun ini. -BERNAMA


Pengarang :