TENOM, 30 Mac — Gandingan tua muda wanita etnik Murut mengabadikan foto mereka dihadapan Menara Urung yang merupakan sebahagian istiadat suku kaum itu ketika upacara menghalau roh-roh jahat. Menara setinggi 25 kaki itu dihiasi dengan pelbagai kraf ciptaan wanita-wanita etnik itu yang turut dijadikan sebahagian peralatan upacara ritual Urung sempena sambutan perayaan Kalimaran 2019 yang akan dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal esok. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
RENCANA

“Urung”, ritual etnik Murut halau roh jahat

TENOM, 31 MAC: Masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, mempunyai cara masing-masing untuk menghalau roh jahat yang boleh mengganggu kehidupan seharian mereka, begitu juga kaum Murut di Tenom, Sabah mempunyai kaedah mereka tersendiri yang dipanggil upacara “Urung”.

Ketua Anak Negeri Tenom Atun Patu berkata etnik Murut di sini akan mengadakan upacara Urung selepas kematian atau acara menyambut kehadiran tetamu khususnya pada majlis perkahwinan bertujuan menghalau roh jahat daripada mengganggu mereka.

Atun, 63, berkata upacara ritual itu sangat penting bagi masyarakat Murut kerana ia sebahagian daripada adat tradisi suku kaum berkenaan yang diwarisi sejak zaman-berzaman.

Katanya etnik Murut mempercayai tentang kehadiran roh jahat, justeru, upacara Urung diadakan bagi memastikan roh jahat itu tidak mengganggu mereka ketika melakukan pelbagai aktiviti.

“Upacara Urung bagi perkahwinan disebut “Ansaluang” atau ritual masuk rumah bertujuan menghalau roh jahat menyertai dan mengganggu tetamu sepanjang majlis berjalan,” katanya kepada Bernama, di sini.

Atun berkata persiapan menyediakan upacara ritual Urung melibatkan pembinaan sebuah menara setinggi 7.62 meter bagi menempatkan sebuah patung diperbuat daripada kayu lembut yang diukir menyerupai wajah manusia.

Patung itu disebut sebagai “Tiningkoulun” dan dihias dengan dua helai juntaian kain sarung, katanya.

“Di menara itu juga terdapat enam juntaian kain sarung dan dua juntaian kain berwarna merah dan biru yang dipasang menegak mengelilingi Tiningkoulun (patung).

Selain itu, kraftangan manik hasil kerja tangan kaum wanita Murut digantung di bahagian tengah menara tersebut selain peralatan menangkap ikan seperti bubu, jala dan topi diletakkan di bahagian bawah,” katanya.

KENINGAU, 31 Mac — Ketua Anak Negeri (KAN) Tenom Atun Patu, 63 (kanan), bersama Wakil Ketua Anak Negeri (KAN) Antanom Tenom Ukie, 51, menunjukkan hasil kerja tangan kaum wanita etnik Murut yang dijadikan sebahagian peralatan upacara ritual Urung atau istiadat menghalau roh jahat yang dipertontonkan sempena sambutan Pesta Kalimaran 2019 peringkat negeri yang bermula Selasa dan hingga hari ini. Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan menghadiri pada majlis penutupannya.
–fotoBERNAMA(2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Atun berkata seorang pemimpin dalam kalangan etnik Murut dipanggil sebagai “Ansa’al” akan dipilih mengetuai upacara ritual itu menggunakan selaras senapang bagi menembak dan menjatuhkan kain terjuntai di menara yang dibina.

Ansa’al akan memulakan upacara itu dengan berdoa memohon supaya roh jahat tidak mengganggu keluarga, tetamu dan seluruh kaum berkenaan, katanya.

“Jika tembakan dilakukan oleh Ansa’al berjaya menjatuhkan juntaian kain tersebut bermakna majlis boleh diteruskan, tetapi sekiranya gagal sehingga peluru habis, maka satu upacara berlainan disebut sebagai “Amparawak” atau majlis tolak bala perlu dilakukan agar majlis yang telah diatur dapat dijalankan,” katanya.

Bagaimanapun kepercayaan terhadap upacara ritual Urung dalam kalangan generasi muda etnik Murut semakin pupus yang antara lain disebabkan faktor keagamaan, perkahwinan campur dan kemodenan masa kini, katanya. -BERNAMA

 


Pengarang :