NASIONAL

Wanita dera anak angkat ditahan

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Seorang wanita ditahan polis di Jalan Sungai Tua, Batu Caves dekat sini hari ini kerana disyaki memukul serta menendang anak angkatnya berusia tujuh tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selango,r SAC Fadzil Ahmat berkata, wanita berusia 30 tahun itu ditahan di sebuah kedai makan pada kira-kira 5 petang oleh anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

“Polis menerima laporan berhubung satu rakaman video memaparkan seorang kanak-kanak perempuan dipukul seorang wanita dan mangsa menangis apabila ditendang beberapa kali di bahagian badan.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku di sebuah apartmen di Taman Raintree, Batu Caves pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata wanita itu dipercayai melakukan perbuatan itu untuk melepaskan geram terhadap suaminya yang juga bapa saudara mangsa. Pasangan itu dikatakan telah bercerai awal tahun ini.

Wanita itu akan direman esok untuk membantu siasatan di bawah Akta Kanak-kanak 2001. -BERNAMA


Pengarang :