SELANGOR

Wanita perlu sistem sokongan ampuh

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 MAC: Wanita perlu terus memperjuangkan hak mendapatkan sistem sokongan ampuh supaya sentiasa efisien di tempat kerja, sekali gus menyumbang ke arah produktiviti negara.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, dari kaca mata strategi keutamaan atau ‘strategic priority’, menjadi hasrat Kerajaan Negeri memastikan segala dasar dan tindakan dilaksanakan secara bersepadu serta menyeluruh.

Katanya, ia bagi memelihara kepentingan wanita dalam semua aspek kehidupan termasuk sistem ekonomi, kesihatan, pendidikan, kesihatan, keselamatan dan hak serta kehormatan diri mereka dilindungi dalam kerangka perundangan.

“Pendekatan ini juga sejajar komitmen negara di bawah Sustainable Development Goals (SDG).

“Menurut perangkaan pada 2017, indeks kesejahteraan Malaysia meningkat 1.9 peratus setiap tahun, manakala bagi indeks kebahagian, Malaysia kini adalah negara paling gembira di tangga ke-42 dari kalangan 155 negara.

“Justeru, kita berharap supaya angka dan pencapaian ini terus meningkat sejajar tema Hari Wanita Sedunia pada tahun ini, #SeimbanguntukSejahtera,” katanya pada Majlis Apresiasi Kepimpinan Wanita Selangor, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini.

Bagaimanapun, Dr Mariah berkata, banyak cabaran perlu dihadapi dalam mencapai matlamat itu, antaranya hampir 70 peratus responden berdepan diskriminasi jantina di tempat kerja dan 41 peratus tidak dinaikkan pangkat disebabkan jantina.

“Manakala, 30 peratus daripada wanita Malaysia bersetuju bahawa anak menjejaskan masa depan kerjaya mereka, sementara 30 peratus lagi percaya anak menyebabkan kerjaya mereka terbantut.

“Bilangan wanita yang tidak kembali ke sektor pekerjaan selepas berumahtangga ataupun selepas mendapat cahaya mata terus meningkat,” katanya.


Pengarang :