RENCANA

Warga Selangor julang nama Malaysia

OLEH NAZLI IBRAHIM

Siri sebelum ini, SelangorKini menampilkan beberapa warga Selangor yang berjaya menjulang nama Selangor dan Malaysia di peringkat antarabangsa dengan pelbagai pencapaian dalam bidang masing-masing.

Antaranya, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika masih bergelar Raja Muda Selangor dengan kejayaan pelayaran mengelilingi dunia selama 644 hari di atas kapal layar peribadinya, Jugra dan kejayaan pengembaraan sejauh 16,000 kilometer bermula di Peking, China ke Paris, Perancis selama 43 hari pada 1997 dengan memandu kereta antik Ford Model B yang tercatat dalam The Malaysia Books of Records.

Selain itu, baginda juga menerima penganugerahan pangkat tertinggi daripada Kerajaan Perancis iaitu Commandeur De La Legion D’Honneur (Commander of the French National Order of the Legion of Honour) yang disampaikan Laksamana Edouard Guillaud di Kedutaan Perancis, di Kuala Lumpur.

SelangorKini turut menampilkan ‘Sidek Lima Bersaudara’ yang terdiri daripada Datuk Misbun Sidek, Datuk Razif Sidek, Datuk Seri Jalani Sidek, Rashid Sidek dan Rahman Sidek kerana kejayaan menggegarkan arena badminton dunia.

Tidak ketinggalan, atlet para negara, Muhamad Ziyad Zolkefli, yang mengharumkan nama Malaysia dan Selangor ekoran kejayaan memecahkan rekod dunia sebanyak dua kali dalam acara lontar peluru lelaki F20 pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017, di London.

Kali ini, SelangorKini akan tampilkan lagi beberapa nama yang turut menjulang nama Selangor dan Malaysia di mata dunia dengan pencapaian hebat masing-masing.

Shalin pemain boling nombor satu Asia

Olahragawati Muda Harapan Selangor 1991, Shalin Zulkifli, dinobatkan sebagai pemain boling nombor satu Asia pada tahun 2000 hingga 2002 sebelum merampas kembali kedudukan itu, pada tahun 2004.

Pada tahun 2004, Shalin menjadi pemain termuda dan rakyat Malaysia pertama menjuarai Kejohanan Wanita Kent Malaysian All-Stars.

Beliau juga menjadi juara wanita pertama di World Tenpin Masters di Essex, England, pada 2001.

Pemegang ijazah dalam sains sukan itu turut membantu pasukan negara menjuarai pingat emas pada Kejohanan Boling Tenpin Dunia bagi ketegori lima berpasukan wanita pada tahun 2003, 2007 dan 2017, di samping pingat gangsa, pada tahun 2013.

Manakala dalam Sukan Asia pula, Shalin menggondol emas dalam kategori masters di Sukan Asia Busan 2002 dan lima berpasukan di Sukan Asia Doha 2006.

Beliau turut memenangi perak di Doha pada tahun sama bagi kategori trios, lima berpasukan di Sukan Asia Guangzhou 2010, beregu di Sukan Asia Incheon 2014 dan gangsa dalam kategori trios di Sukan Asia Busan 2002.

Di peringkat Sukan Sea pula, Shalin di era kegemilangannya cukup digeruni lawan ekoran kemampuannya mencatatkan lapan rekod baru Sukan Sea, di samping membolot deretan pingat emas dalam pelbagai kategori disertainya.

Selain itu, beliau turut merangkul gelaran juara di pelbagai kejohanan peringkat kebangsaan dan dunia lain seperti Asia Bowling Tour dan kejohanan terbuka antarabangsa, di pelbagai negara.

#kapcaipackers

Pasangan #kapcaipackers, Mohd Alfifshahrin Zakaria, 31, dan isteri, Diana Latief, 30, berjaya menamatkan misi jelajah Klang ke kota London dengan hanya menunggang motosikal kapcai berkuasa 150CC.

Perjalanan selama 146 hari itu merentasi 23 negara membabitkan jarak sejauh 25,000 kilometer.

Lebih manis lagi, ketibaan mereka di hadapan pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London tepat pada masa rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan, pada 31 ogos 2017.

Jelajah yang turut mendapat tajaan Kerajaan Negeri itu dijalankan melalui program Inspirasi Anak Muda Bebas Dadah Persatuan Mencegah Dadah Malaysia Selangor itu bermula, pada 8 April 2017.

Manusia pertama berbasikal rentasi Chadar Trek Ladakh Zanskar

Pada 12 Januari 2019, tepat jam 4.30 petang waktu tempatan India, ikon Anak Muda Gombak, Khairil Aslan Ab Rashid dan Shahril Aizat, menempa nama sebagai penjelajah pertama dunia merentasi Chadar Trek Ladakh Zanskar dengan berbasikal.

Penjelajahan misi ‘Road To Minus 35 Degress’ itu bermula di Chilling ke Air Terjun Nerak dan berpatah balik ke Chilling.

Berbasikal sejauh 105 kilometer di atas sungai beku dan lereng tebing berbatu sungai di dalam suhu sejuk ekstrem mencecah – 35 hingga – 40 darjah itu sememangnya lebih mencabar berbanding berjalan kaki ekoran terpaksa kerap memikul basikal untuk merentasi bentuk muka bumi yang sangat mencabar.

Dekan UNISEL dianugerah CSci

Dekan Fakulti Bioperubatan & Sains Kesihatan, Universiti Selangor (UNISEL), Prof Madya Dr Nazil Salleh pula dianugerahkan Chartered Scientist (CSci) pada 3 September 2014 oleh Council Science, United Kingdom.

Anugerah itu adalah pengiktirafan tertinggi yang diberikan oleh Council Science kepada professional ‘Association Body’ di United Kingdom dan terdapat lebih 30 badan professional yang berdaftar dengan British Council.

Beliau yang berkhidmat lebih enam tahun di UNISEL adalah dekan juga pensyarah, malahan pakar sains yang banyak menyumbang tenaga serta idea dalam keterlibatan menerusi bidang sains dan bio perubatan.

Pencapaian mereka ini bukan sahaja menjadi kebanggaan negeri dan negara, malahan menjadi inspirasi kepada generasi muda bahawa tiada yang mustahil untuk mencapai impian masing-masing.


Pengarang :