SELANGORSENI

Ya Nasr kutip dana biayai murid ke pertandingan kesenian di Bulgaria, Turki

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 MAC: Persatuan Warisan Kesenian Ya Nasr berjaya mengutip dana bagi membiayai kumpulan penari mereka ke pertandingan kesenian antarabangsa, di Bulgaria dan Turki.

EXCO Kebudayaan Dan Pelancongan, Peradaban Melayu Dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, kumpulan 20 penari yang terdiri daripada murid sekolah itu akan berlepas ke Bulgaria pada 25 Mac ini sebelum terus ke Turki, awal April nanti.

“Warisan Kesenian Ya Nasr ini adalah sebuah Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) yang cergas dan mereka mencari dana untuk menghantar penari mereka mewakili Malaysia ke pertandingan kesenian antarabangsa, di Bulgaria dan Turki.

“Syukur mereka berjaya memperoleh dana yang mencukupi melalui Majlis Makan Malam Amal Warisan Kesenian Ya Nasr yang saya sendiri naungi ini.

“Saya dah banyak kali lihat persembahan mereka dan yakin mereka mampu menjulang nama Malaysia dan Selangor,” katanya kepada SelangorKini pada Majlis Makan Malam Amal Warisan Kesenian Ya Nasr, di Dewan Perkim, di sini, malam tadi.

Katanya, dana yang diperolehi itu akan digunakan untuk membiayai kos perjalanan, penginapan, membeli kostum baru dan keperluan lain.

Abdul Rashid berharap persatuan kesenian dan kebudayaan lain menjadikan kegigihan Persatuan Warisan Kesenian Ya Nasr sebagai model supaya mereka lebih aktif menjalankan aktiviti kesenian.

Abdul Rashid berkata, sebelum ini Ya Nasr kerap diundang mengadakan persembahan di majlis berprestij termasuk membabitkan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan beberapa pertandingan dalam negara.

Terdahulu, Majlis Makan Malam Amal Warisan Kesenian Ya Nasr sarat diwarnai dengan persembahan kesenian warisan Melayu yang dipersembahkan murid pelbagai peringkat umur.

Antaranya, pelbagai tarian termasuk tarian Selangor, pertunjukan silat dan persembahan muzik angklung.


Pengarang :