BERITA UTAMASELANGOR

YIDE sokong usaha murni CSR santuni gelandangan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 23 MAC: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menyambut baik usaha murni dilaksanakan syarikat pengeluar gula, Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR) dalam menyantuni golongan gelandangan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah berkata, inisiatif sedemikian amat digalakkan untuk setiap syarikat korporat atau badan bukan kerajaan melaksanakannya.

“YIDE menyokong usaha murni CSR dalam membantu golongan gelandangan untuk menikmati kehidupan ke arah lebih baik.

“Semoga inisiatif ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, sejumlah RM30,000 disumbangkan CSR dari Zakat Wakalah kepada 200 penghuni Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (PTGKL) menerusi Program Kasih Gelandangan PTGKL, di sini, malam tadi.

Difahamkan, sumbangan itu diberikan dalam bentuk makanan, minuman dan barangan kelengkapan peribadi seperti tuala, selimut serta kain pelikat.

Ia adalah sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat dengan kerjasama YIDE serta Lembaga Zakat Selangor sebagai menyumbang semula kepada masyarakat yang kurang berkemampuan.

Terdahulu, PTGKL yang terletak di Jalan Pahang itu mula ditubuhkan pada 2016 dan mampu menempatkan 250 penghuni pada satu masa.

 


Pengarang :