SELANGOR

YRMS ajak belia sertai Seni Kemahiran Pembuatan Keris Tradisional

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 10 MAC: Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) mengajak belia seluruh Malaysia yang berminat untuk menyertai kursus Seni Kemahiran Pembuatan Keris Tradisional.

Memetik kenyataan di Facebook Selangor Youth Community (SAY), kursus kemahiran itu berlangsung selama 12 bulan bermula April tahun ini hingga Mac 2020.

Katanya, sesi kursus itu akan diadakan di Kuala Terengganu bagi Seni Ukiran Keris, manakala Marang untuk Seni Tempaan Besi.

“Kami akan menyediakan latihan percuma selama 12 bulan dan elaun RM500 sebulan kepada pemohon yang berjaya mengikuti kursus latihan kemahiran ini.

“Latihan akan dijalankan mentor berpengalaman dalam bidang seni ukiran keris dan seni tempaan besi,” katanya.

Pada masa sama, YRMS berkata, sesi temuduga bakal dilaksanakan kepada mentee yang berpotensi disenarai pendek selepas kursus berkenaan selesai.

“Sesi temuduga itu akan dijalankan bersama dengan rakan stratgeik kami iaitu Yayasan Diraja Sultan Mizan dan Universiti Sultan Zainal Abidin di Kuala Terengganu,” katanya.

Permohonan terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 18 hingga 30 tahun dan mereka yang berminat boleh memohon secara dalam talian dengan mengisi borang di https://tinyurl.com/Keris2019 sebelum 18 Mac ini.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi 03-55235368 atau e-mel [email protected].


Pengarang :