BERITA UTAMA SELANGOR

TERKINI: 11 maut bas pekerja jatuh longkang

SEPANG, 8 APRIL: Seramai 11 orang dengan hampir kesemuanya warga asing maut selepas bas pekerja yang mereka naiki jatuh ke dalam longkang berhampiran kawasan MASKargo, Sepang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah KLIA ACP Zulkifli Adamshah berkata. mereka yang maut dalam kejadian kira-kira 11.10 malam itu terdiri 10 penumpang bas warga asing dan seorang pemandu bas warga tempatan.

Sembilan daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian dan dua lagi mangsa meninggal dunia di hospital, masing-masing satu di Hospital Serdang dan Hospital Putrajaya, katanya ketika dihubungi hari ini.

Bas berkenaan jatuh kira-kira 10 meter ke dalam longkang yang mempunyai kedalaman keseluruhan 20 meter.

Beliau berkata siasatan awal mendapati bas terbabit yang membawa 43 penumpang warga asing yang juga pekerja kontrak MASKargo itu dalam perjalanan ke tempat kerja dari asrama mereka di Nilai, Negeri Sembilan.

Zulkifli berkata penumpang yang cedera dalam kemalangan itu dibawa ke Hospital Serdang, Hospital Putrajaya, Hospital Banting dan Hospital Kajang untuk rawatan.

“Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya, sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -BERNAMA


Pengarang :