PBTSELANGOR

1,000 guru sertai Larian Shah Alam Tanpa Kenderaan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 APRIL: Seramai 1,000 orang guru menyertai acara larian sempena program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan, di Dataran Kemerdekaan, Ahad lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, acara larian itu membabitkan guru dan ahli keluarga mereka bersempena Sambutan Hari Bumi.

“Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan pada kali ini bertemakan sambutan Hari Bumi.

“Pelbagai aktiviti akan diadakan seperti acara ‘Perdana Fun Run’, acara berbasikal, acara berjalan kaki, senamrobik, senaman taichi, persembahan pentas oleh kombo MBSA dan pemeriksaan kesihatan percuma,” katanya.

Shahrin berkata, MBSA turut bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling sempena Program Kesedaran Kepentingan Imunisasi.

Katanya, sebanyak enam gerai pameran kesihatan dibuka untuk saringan kesihatan, demonstrasi makanan sihat, pertandingan mewarna kanak-kanak dan pelbagai lagi.

“Bagi menarik penyertaan orang ramai, pihak MBSA juga menyediakan ‘Cosplay’ Maskot ‘Super Hero’ bertema Hari Bumi, permainan wall climbing, Mobile Library, Shah Alam On Wheels dan Food Truck.

“Selain itu, chu chu train, Klinik Frisbee, Hydro Gel Games, Futsal On 3, Fruit Eating Challenge, cabutan bertuah, jualan pokok serta baja kompos,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pengunjung juga turut serta ke program bual santai Jom Picnic Dhuha bertajuk ‘Imunisasi, Apakah Kegusaran Anda?’ yang menampilkan Pakar Perunding Kanak-Kanak, Prof Datuk Dr Zulkifli Ismail.


Pengarang :