NASIONAL

11 mangsa bas pekerja kemalangan kritikal

PUTRAJAYA, 8 APRIL: Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan 11 mangsa yang dimasukkan ke hospital akibat kemalangan bas pekerja berhampiran kawasan MASKargo, Sepang malam tadi, adalah kritikal.

Keadaan 14 mangsa lagi separa kritikal dan lapan kes tidak kritikal, katanya dalam satu kenyataan berhubung insiden itu.

Dalam kejadian kira-kira 11.10 malam tadi, 11 individu maut membabitkan 10 warga asing dan seorang rakyat tempatan apabila bas dinaiki 44 orang itu jatuh ke dalam longkang sedalam kira-kira empat meter.

Dua daripada kematian itu dilaporkan di hospital manakala sembilan lagi di lokasi kejadian, katanya.

“Mangsa kemalangan dikejarkan ke Hospital Putrajaya, Hospital Serdang, Hospital Banting dan Hospital Kajang,” kata Dr Noor Hisham.

Pusat Koordinasi Perubatan Kecemasan Hospital Putrajaya (PKPK) sejurus menerima panggilan pada 11.16 malam telah menyelaraskan pasukan respon di mana Klinik Kesihatan Salak adalah pasukan pertama diaktifkan untuk memberi bantuan ke tempat kejadian, diikuti pasukan respon daripada fasiliti berdekatan, katanya. -BERNAMA


Pengarang :