SELANGOR

120 keluarga memerlukan terima sumbangan Ramadan MBSA

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 28 APR: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menghulurkan sumbangan kepada 120 keluarga di sekitar kawasan pentadbirannya bersempena program Ziarah Ramadan, baru-baru ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, MBSA melalui Majlis Perwakilan Penduduk Shah Alam mengenalpasti lima orang bagi setiap zon berdasarkan kriteria ditetapkan antaranya golongan fakir miskin, ibu tunggal, warga emas yang tidak berkemampuan dan Orang Kelainan Upaya.

Katanya, objektif program itu dilaksana bertujuan membantu meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan bagi membuat persediaan menyambut Ramadan.

“Ini adalah komitmen secara berterusan MBSA untuk membantu masyarakat melalui program kemasyarakatan selain memberi peluang kepada warga Shah Alam untuk mendekati kita.

“Selain itu, program ini juga landasan MBSA merapatkan hubungan silaturrahim dan ukhwah antara pihak MBSA dan masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, sumbangan diberikan adalah berbentuk barangan keperluan seperti beras, minyak masak, gula, sardin, kurma, kicap, garam, tepung gandum, susu pekat, rempah kari dan biskut tin bagi menjamin menu harian yang sihat.

“Nilai barangan yang disumbangkan MBSA kepada golongan ini adalah RM150 berupa barangan keperluan dan wang tunai sebanyak RM100 untuk setiap keluarga,” katanya.

Terdahulu, program itu dihadiri Timbalan Datuk Bandar, Mohd Rashidi Ruslan.


Pengarang :