SELANGOR

13 keluarga mangsa ribut terima kunci kediaman baharu

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

GOMBAK, 13 APR: Penantian 13 keluarga yang kehilangan tempat berteduh ekoran dipukul ribut di Batu 11, di sini, akhirnya terlerai apabila menerima kunci kediaman baharu, malam tadi.

Penyerahan kunci rumah berkenaan disempurnakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham, di Masjid Zakaria, Gombak Utara.

Beliau berkata, kesemua keluarga terbabit menerima sebuah rumah yang ditawarkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bernilai RM42,000 seunit dengan keluasan 700 kaki per segi.

Katanya, rumah ditawarkan menggunakan konsep Sewa Milik kediaman (Rent-To-Own) dengan kadar sewa serendah RM250 setiap bulan tanpa dikenakan sebarang bayaran deposit.

“Mereka ditawarkan untuk memiliki rumah berkenaan dalam tempoh empat tahun, manakala jumlah sewaan sepanjang tempoh itu akan dianggap sebagai deposit untuk pembelian rumah terbabit, maka ia hanya akan tinggal 50 peratus lagi.

“Kita juga memberikan wang tunai RM3,000 setiap seorang untuk membeli kelengkapan rumah memandangkan kebanyakan rumah didiami sebelum ini musnah dan hanya tinggal sehelai sepinggang.

“Mereka bersetuju untuk berpindah sama ada rumah mereka musnah secara keseluruhan mahupun berada dalam zon tidak selamat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi penyerahan itu.

Hadir sama, Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain.

Dalam majlis itu, Hilman turut menyerahkan sumbangan ehsan wang tunai berjumlah RM1,000 kepada 40 mangsa ribut yang mengalami kerosakan rumah, sementara 141 penduduk terjejas banjir kilat menerima RM500 membabitkan jumlah peruntukan keseluruhan RM150,000.

Selain wang tunai, pelajar terjejas dalam kejadian itu diberi komputer riba sumbangan kemasyarakatan daripada Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohammed Azmin Ali.

Pada kejadian 28 Mac lalu, beberapa kawasan di daerah Gombak dilanda bencana ribut dan pokok tumbang sehingga meranapkan beberapa buah rumah dalam sekelip mata.

Kejadian malang itu juga menyebabkan lima buah rumah di Pondok Penyayang Raudhah musnah.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

 


Pengarang :