SELANGOR

130 kakitangan MPK terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KLANG, 20 APRIL: Seramai 130 warga kerja Majlis Perbandaran Klang (MPK) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 dalam satu majlis yang diraikan di Dewan Hamzah, di sini, malam tadi.

Majlis yang berlangsung dalam suasana gilang-gemilang itu disempurnakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan dihadiri Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasin Bidin.

Mohamad Yasin berkata, acara tahunan itu bagi mengiktiraf dan menghargai komitmen kakitangan yang menunjukkan dedikasi serta kecemerlangan dalam melaksanakan tugasan selain tanggungjawab diamanahkan.

“Kesemua mereka dinilai ketua jabatan masing-masing dan memperoleh markah penilaian tinggi daripada segi disiplin, sumbangan serta kemahiran kerja.

“Anugerah seumpama ini akan dapat memberi motivasi kepada kakitangan MPK untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang pada masa akan datang,” katanya.

Pada masa sama, katanya, seramai lapan kakitangan berlainan jabatan turut menerima Anugerah Khas YDP atas kerja keras menggembleng kudrat demi memacu pembangunan di Klang.

“Lapan peserta pilihan dalam kalangan ahli majlis ini adalah mereka yang sentiasa menjalankan tugas dan berhubung rapat serta membantu setiap urusan,” katanya.

Seramai 40 pesara MPK yang banyak menabur bakti dan budi sepanjang tempoh perkhidmatan di pihak berkuasa tempatan berkenaan turut diberi penghargaan.

Manakala, 10 wakil kakitangan MPK yang sudah kembali ke rahmatullah diberi penghargaan sebagai tanda memperingati sumbangan dicurahkan.


Pengarang :