SELANGOR

140 pelajar tamat program ‘Schoolheroes English Class’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SELAYANG, 10 APR: Seramai 140 pelajar sekolah menengah di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer berjaya menamatkan program pemantapan penguasaan Bahasa Inggeris ‘Schoolheroes English Class’, Isnin lalu.

Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN berkenaan membabitkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Darul Ehsan dan SMK Rawang selain dikendalikan sepenuhnya Konsultan School Heroes, Lin Dee.

Penyelaras Unit Pendidikan dan Pembangunan Insan PKM DUN Taman Templer, Mohd Fadhlullah Ismail berkata, pelaksanaan program itu sebagai tanda keprihatinan terhadap pendidikan anak-anak, khususnya di kawasan terbabit.

“Kita meluluskan sebahagian besar kos perjalanan program ini dan selebihnya atas inisiatif dari Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah masing-masing.

“Mempelajari bahasa asing, selain Bahasa Melayu merupakan salah satu tuntutan penting dalam Islam. Ia adalah tanda kita mensyukuri kepelbagaian bahasa yang dicipta oleh Allah.

“Malah, program ini juga sebagai cara kita menjalinkan komunikasi dengan pihak lain secara berkesan,” katanya.

Kesemua peserta termasuk ibu bapa yang turut menjayakan program itu diberikan sijil penghargaan bagi menghargai komitmen tinggi peserta selama tiga bulan bermula Januari hingga Mac lalu dengan enam kali pertemuan.

Terdahulu, program penutup yang diadakan di Dewan Samarlingga, SMK Rawang turut dihadiri wakil pengetua kedua-dua sekolah terbabit.


Pengarang :