SELANGOR

15 pelajar UNISEL terima pengiktirafan Anugerah Kepimpinan Siswa

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BESTARI JAYA, 26 APRIL: Seramai 15 penuntut Universiti Selangor (UNISEL) menerima pengiktirafan sempena Anugerah Kepimpinan Siswa 2018 (AKS2018) yang berlangsung di Dewan Canselor kampus Bestari Jaya, di sini, pada 24 April lalu.

Pengarah Komunikasi Korporatnya, Hasril Abu Hassan berkata, AKS2018 anjuran Bahagian Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti (HEP) adalah sebagai penghormatan dan penghargaan untuk pelajar dalam organisasi yang terbabit secara cemerlang di dalam dan luar kampus sepanjang tahun lalu.

Katanya, lebih 50 pencalonan dan dua saringan dijalankan membabitkan penilaian juri dalaman dan luaran bagi mendorong pelajar untuk lebih bergiat serta melakukan perubahan di dalam juga luar kampus.

“Ia meliputi Anugerah Pemimpin Badan Beruniform; Anugerah Pemimpin Program Kebudayaan; Anugerah Pemimpin Program Sains, Teknologi & Inovasi; Anugerah Pemimpin Program Sukan & Rekreasi; Anugerah Pemimpin Program Pengucapan Awam; Anugerah Pemimpin Program Wacana Intelek dan Anugerah Pemimpin Program Keusahawanan.

“Selain itu, Anugerah Pemimpin Program Dakwah; Anugerah Pemimpin Pelajar Antarabangsa; Anugerah Pemimpin Sukarelawan (Alam Sekitar); Anugerah Pemimpin Sukarelawan (Kesejahteraan Komuniti); Anugerah Pemimpin Sukarelawan (Terbuka); Anugerah Pasukan Sukarelawan Terbaik dan Anugerah Organisasi Pelajar Terbaik serta Anugerah Tokoh Siswa Terbaik Unisel 2018,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, AKS2018 disempurnakan Presiden dan Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang, Rozana Zainal Abidin dan ADN Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi yang turut menjadi penaja bagi anugerah berkenaan.

Sementara itu, Dr Mohammad Redzuan berkata, AKS2018 adalah anugerah yang diinspirasikan mantan Timbalan Naib Canselor Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti, Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin.

“Anugerah ini dianjurkan buat kali ketiga bagi menyokong dan memberi penghargaan kepada kepimpinan pelajar yang bergiat secara aktif dalam berpersatuan.

“Selain pembabitan pelajar tempatan, pelajar antarabangsa turut mengambil bahagian dalam aktiviti persatuan di UNISEL. Ini jelas menunjukkan nilai interaksi yang baik dalam kalangan pelajar tempatan dan antarabangsa,” katanya.

FOTO IHSAN: Facebook Universiti Selangor


Pengarang :