SELANGOR

15 rumah terjejas akibat ribut di Sepang

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEPANG, 9 APR: Kira-kira 15 rumah terjejas akibat kejadian hujan lebat dan ribut kuat yang melanda kawasan ini, pada 7 April lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sepang, Adhif Syan Abdullah berkata, antara kawasan terjejas ialah Sungai Merab, Kampung Dato Abu Bakar Baginda, Kampung Teras Jernang dan Kampung Cemperai.

Katanya, rumah yang terjejas mengalami kerosakan bumbung berikutan diterbangkan angin kencang dan ada yang dihempap pokok tumbang.

“Kumpulan kebajikan daripada pejabat saya telah melakukan tinjauan bagi membolehkan mangsa menghubungi agensi terbabit.

“Saya juga turut menyerahkan bantuan barangan dapur kepada penduduk yang terjejas, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sepang dan Kuala Langat juga sudah turun padang memberikan bantuan,” katanya.

Pada masa sama, Adhif menasihatkan penduduk sekitar Sepang supaya berjaga-jaga berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini.

Katanya, ia ekoran kejadian ribut serta angin kencang yang melanda beberapa lokasi di Selangor termasuk Gombak, Tanjong Karang dan Bangi.

“Saya berharap supaya penduduk sentiasa bersiap-sedia serta menyimpan nombor pihak bertanggungjawab untuk dihubungi sekiranya berlaku kecemasan.

“Jangan lupa untuk mengetahui keadan cuaca terkini daripada Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia),” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selagor, Zulfikar Jaffar berkata, kejadian hujan lebat dan ribut kuat itu dimaklumkan menerusi Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor.

Antara lokasi terjejas termasuk Cheras, Kajang, Bangi dan Semenyih.


Pengarang :