SELANGOR

170 penjawat awam, pesara & bakal pesara terima APC & AJD

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 15 APR: Seramai 170 penjawat awam Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor (PSUK) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 dan Anugerah Jasamu Dikenang (AJD) 2019, hari ini.

Daripada jumlah berkenaan, 141 penjawat awam adalah penerima APC sementara 29 lagi adalah pesara dan bakal pesara yang berkhidmat melebihi 25 tahun.

Penyampaian anugerah itu disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, di Dewan Banquet Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini.

Amirudin berkata, penganugerahan itu sebagai tanda pengiktirafan Jabatan dan Kerajaan Negeri terhadap prestasi kerja cemerlang yang disumbangkan warga PSUK.

Katanya, budaya kerja cemerlang seperti itu perlu terus dipupuk dan menjadi contoh kepada anggota lain, khususnya di Jabatan terbabit.

“Besar harapan saya supaya anugerah ini memberi motivasi dan pembakar semangat untuk terus berusaha bersungguh-sungguh dalam meningkatkan prestasi sebagai menghargai pengiktirafan diberikan.

“Bagi anggota yang tidak terpilih menerima anugerah pada tahun ini, bukanlah bermakna tidak merupakan anggota yang cemerlang kerana dalam Mesyuarat Panel Pembangunan Sumber Manusia yang diadakan bagi memilih penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, didapati ramai calon yang layak.

“Malah, ada yang menunjukkan prestasi kerja cemerlang. Namun, kita harus faham bahawa dalam pemilihan, pasti ada persaingan untuk menjadi yang terbaik dari kalangan yang baik,” katanya ketika berucap merasmikan anugerah berkenaan.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin bin Ahmad Ahya; Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Dato’ Nor Azmie Diron; Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor; Dato’ Masri bin Mohd Daud dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Pada masa sama, Amirudin berkata, setiap anggota perlu sentiasa menanam sikap mahu bersaing secara sihat dan komited dengan tidak mengharapkan pengiktirafan anugerah semata-mata.

Katanya, hal itu memandangkan keikhlasan dalam menjalankan kerja adalah suatu ibadah.

“Tugas sebagai penjawat awam menuntut pengorbanan yang bukan sedikit demi memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik dan berkualiti tinggi.

“Jika ini difahami, maka ia akan melahirkan keseronokan bekerja dalam kalangan warga perkhidmatan awam,” katanya.

Syarat pemberian APC kepada seseorang pegawai adalah genap setahun berkhidmat pada hari terakhir tahun penilaian, bebas tindakan tatatertib dalam tahun penilaian selain mengambil kira kegiatan dan sumbangan pegawai.

Manakala, AJD yang diwujudkan pada 2008 meliputi tiga kategori iaitu pegawai dan kakitangan yang berkhidmat dalam tempoh 25 tahun di pelbagai sektor awam serta kini masih berkhidmat di PSUK, pegawai bersara atau meninggal dunia pada tahun berkenaan termasuk pegawai bertukar keluar daripada pentadbiran SUK Selangor ke kementerian lain atas dasar kenaikan pangkat.


Pengarang :