SELANGOR

18 ejen zakat terima anugerah

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 24 APRIL: Sebanyak 18 ejen kutipan dan pengeluar zakat korporat menerima anugerah sempena Majlis Anugerah dan Penghargaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) 2018.

Bertempat di Dewan Orkid, Wisma PKPS di sini, majlis serahan disempurnakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Prof Emeritus Muhammad Awang dan Jawatankuasa Operasi Kutipan LZS, Dato’ Syed Ghazali Wafa Syed Adhwam Wafa.

Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid berkata, ia bertujuan meraikan mereka yang memberikan komitmen dan sumbangan menyebarkan dakwah zakat serta membantu meningkatkan kutipan zakat.

“Bagi membalas budi mereka, penghargaan trofi dan sijil penghargaan mungkin tidak memberi imbuhan yang besar, namun ia memberi makna kepada mereka.

“Kami menghargai usaha diberikan, saya menzahirkan rasa bangga dan berterima kasih atas kesetiaan serta membantu untuk mengutip zakat di Selangor,” katanya.

Lembaga Tabung Haji menerima Anugerah Abdul Rahman bin Auf atas komitmen diberikan, manakala Celcom Axiata Berhad menerima pengiktirafan Anugerah Umar Al-Khatab bagi peningkatan jumlah kutipan zakat melalui potongan gaji dan komitmen pengurusan agihan semula.

Penghargaan turut diberikan kepada Universiti Putra Malaysia merangkap penolong amil IPT LZS yang menerima Anugerah Muaz bin Jabal sebagai pengiktirafan atas peningkatan kutipan zakat dan pembayar baru komitmen terbaik 2018.

Bagi kategori Anugerah Prestasi Kutipan Tertinggi 2018 dimenangi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia – kategori Penolong Amil IPT, Musa Othman (Kategori Ejen Perunding-Individu) dan AUB Resources (Kategori Ejen Perunding-Syarikat).

Kategori Anugerah Prestasi Komitmen dan Pengurusan Terbaik 2018 pula diberikan kepada Universiti Antarabangsa UNITAR – kategori Penolong Amil IPIS, Atarek Kamil Ibrahim & CO (Kategori Ejen Perunding) dan Hong Leong Islamic Bank Berhad (Kategori Ejen Saluran Pembayaran).


Pengarang :