GLOBAL

1MDB: Goldman Sachs digesa mengaku bersalah

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 APRIL: Goldman Sachs digesa untuk mengaku bersalah atas peranannya dalam skandal rasuah besar-besaran membabitkan dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Cadangan itu dibangkitkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) tetapi tertakluk kepada sebarang penyelesaian antara Goldman Sachs dan Amerika Syarikat atau pihak berkuasa negeri.

Ia menjadi penalti paling berat akan diambil Jabatan Kehakiman, kerana berpotensi memberi kesan kepada lesen kewangan bank itu dan kemampuannya mengendalikan perniagaan, lapor AFP yang memetik laporan akhbar The Financial Times.

Menurut sumber rapat dengan siasatan yang tidak dinamakan, cadangan tegas dikemukakan penyiasat itu tidak mengejutkan tetapi penyelesaian akhir berkemungkinan kurang berat.

Jabatan Kehakiman tidak memberi sebarang reaksi kepada permintaan mendapatkan ulasan tetapi pakar berkata, Goldman Sachs boleh berhadapan denda AS$2 bilion (RM8.2 bilion).

Pihak berkuasa AS menuduh ahli perniagaan Malaysia dalam buruan, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low; bekas rakan perniagaan Goldman, Tim Leissner dan bekas ahli perbankan Goldman, Ng Ching Hwa, bersubahat mengubah secara haram berbilion dolar dana 1MDB, yang ditubuhkan untuk membiayai projek pembangunan.

Pegawai AS berkata, lebih AS$2.7 bilion (RM11.15 bilion) dana itu disalah guna, manakala Goldman menjana AS$600 juta (RM2.4 bilion) dalam bentuk bayaran dan pendapatan daripada tiga bon yang dikeluarkan, pada 2012 dan 2013.

Leissner mengaku bersalah manakala Jho Low dan Ng menafikan dakwaan itu.


Pengarang :