NASIONAL

1MDB: Perbicaraan kes Najib dan Arul bermula 18 November

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 15 hari bermula 18 November hingga 17 Januari 2020 untuk perbicaraan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Tarikh perbicaraan itu ditetapkan Hakim Mohamed Zaini Mazlan selepas sebutan kali pertama kes itu dihadapannya.

Terdahulu Najib, 66, yang diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Arul Kanda, 43, yang diwakili Datuk N.Sivananthan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan semula secara berasingan terhadap mereka.

“Tarikh bicara ditetapkan 18 Nov hingga 29 November 2019 dan 13 Jan hingga 17 Januari 2020,” kata hakim Mohamed Zaini dan turut menetapkan 29 Ogos untuk pengurusan kes tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof memaklumkan bahawa pihak pendakwaan akan memanggil antara 25 dan 30 saksi.

Pada 12 Disember 2018, Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau dituduh sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri Malaysia, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Anggota Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda, pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan terbabit, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Pada 4 Januari 2019, Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes Najib dan Arul Kanda dibicarakan bersama. -BERNAMA


Pengarang :