NASIONAL

1MDB: Rayuan Najib gugur Sri Ram dijadual semula 23 April

PUTRAJAYA,10 APRIL: Mahkamah Persekutuan menjadualkan semula tarikh kepada 23 April ini bagi pendengaran rayuan Datuk Seri Najib Razak untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram, daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.

Panel tiga hakim dianggotai Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Lau Bee Lan hari ini membenarkan permintaan peguam bekas perdana menteri itu, Wan Aizuddin Wan Mohammed untuk menangguhkan pendengaran rayuan tersebut.

Wan Aizuddin memberitahu mahkamah bahawa pihaknya mahu menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini berhubung kes berkaitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib tidak membantah terhadap permintaan penangguhan tersebut.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan pihak pendakwaan akan memfailkan bantahan awal terhadap rayuan Najib untuk menggugurkan Sri Ram sebagai pendakwa yang tertumpu kepada sama ada perkara itu boleh dirayu.

Pada 1 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan Najib untuk menggugurkan Sri Ram, yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan selepas mendapati tiada bukti menunjukkan Sri Ram akan bertindak berat sebelah selaku Timbalan Pendaakwa Raya Kanan bagi kes itu.

Beliau turut memutuskan bahawa Najib tidak berhak untuk meminta Sri Ram mengemukakan surat lantikan beliau sebagai pendakwa raya secara arahan serta menolak permohonan untuk menangguhkan sementara perbicaraan kes itu yang dijadual bermula 14 Mei ini.

Pada 20 Sept 2018, Najib didakwa dengan empat pertuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 2011 dan 2014. -BERNAMA


Pengarang :