NASIONAL

1MDB: Semua pemimpin dunia bertanya

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA LANGAT, 29 APRIL: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pemimpin seluruh dunia bertanya berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), ketika lawatan beliau ke beberapa negara, sebelum ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, seluruh dunia mengetahui masalah Malaysia iaitu memiliki pemimpin yang merompak harta rakyat.

“Beberapa bulan lalu, saya ke India, China, Turki, Qatar, Amerika dan England, semua tanya berkenaan 1MDB.

“Saya pergi ke Amerika, Bank of America tanya, saya pergi ke Turki Tayyip Erdogan tanya, saya pergi ke Qatar Raja Qatar, jumpa Narendra Modi di India, semua tanya bagaimana boleh terjadi.

“Macam mana satu negara boleh biarkan pemimpin rompak guna kekayaan beli ratusan beg, belanja ratus juta ringgit untuk peribadi, nak judi di Amerika, nak beli kapal terbang, nak beli kapal semua guna duit kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika berucap pada Majlis Makan Amal KEADILAN Cabang Kuala Langat, di Dewan Gan Yan Sin, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, lebih menghairankan di Malaysia apabila bekas pemimpin yang terpalit dengan skandal masih mendapat sokongan daripada UMNO dan PAS.

“Satu dunia sudah tahu skandal terbabit, tapi di Malaysia masih lagi disokong, bukan sahaja UMNO termasuk PAS, Allahuakbar,” katanya.


Pengarang :