NASIONAL

2 kontraktor ditahan bantu siasatan tuntutan palsu lebih RM1.7 juta

JOHOR BAHRU, 22 APR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan dua pemilik syarikat kontraktor kerana bersubahat mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM1.7 juta kepada Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), tiga tahun lalu.

Menurut sumber, dua lelaki berkenaan yang msing-masing berusia 43 dan 33 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM negeri di sini pada jam 1 tengah hari selepas hadir memberi keterangan.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek telah bersubahat membuat tuntutan palsu kepada MPPG di bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

“Ia berkaitan kerja-kerja menyelenggara dan membaiki sistem lampu isyarat di beberapa kawasan sekitar Pasir Gudang dan Bandar Seri Alam bagi tahun 2016 dengan jumlah lebih RM1.7 juta sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya,” kata sumber berkenaan.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :