SELANGOR

20 usahawan wanita Selangor sertai pembangunan usahawan halal

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 12 APRIL: Seramai 20 usahawan wanita terdiri daripada persatuan ibu tunggal dan asnaf seluruh Selangor menyertai Program Pembangunan Usahawan Halal kendalian Halal Academy, di Bilik Pejabat MTES, di sini, semalam.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, program di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu turut disertai usahawan wanita, dari luar Selangor.

Katanya, mereka terpilih adalah dalam kalangan usahawan wanita yang tinggal di kawasan perumahan kos rendah, khususnya pangsapuri kos rendah dan berpendapatan di bawah RM5,000 sebulan.

“Usahawan wanita ini adalah usahawan produk makanan dan ubat-ubatan tradisional yang menghasilkan produk sejuk beku seperti karipap, keropok lekor serta minuman kesihatan bagi wanita, di luar sana.

“Program ini adalah penting kerana memberi pendedahan kepada usahawan wanita untuk mendapatkan sijil halal yang sudah tentu bukan perkara mudah kerana terdapat perkara perlu dipatuhi ketika proses mendapatkan sijil halal berkenaan, terutama daripada segi kebersihan dan keselamatan,” katanya.

Pada masa sama, Haniza merangkap Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya berkata, sijil halal diperoleh nanti diharap mampu meluaskan pasaran usahawanita, sekali gus menembusi pasaran pasaraya besar seperi Giant, Tesco dan NSK.

“Dengan pengiktirafan yang diberikan oleh pasar raya besar ini mampu meningkatkan ekonomi keluarga terutama bagi golongan asnaf yang terpilih.

“Diharap program ini dapat memberi idea dan semangat kepada peserta terpilih untuk terus berusaha dalam meningkatkan pendapatan serta kualiti kehidupan mereka,” katanya.

Halal Academy diwakili Ketua Pegawai Operasi, Khairul Anwar Kamal; Penolong Ketua Pegawai Operasi, Syuhada Hussain dan Eksekutif Latihan, Nur Jannah Ismail.

 


Pengarang :