GLOBAL

20,000 pelarian di Zimbabwe terjejas siklon Idai – PBB

HARARE, 1 APR: Sekurang-kurangnya 20,000 pelarian di Zimbabwe telah terjejas oleh Siklon Tropika Idai yang berbahaya, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan para pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Ahad.

“Kami mempunyai sekurang-kurangnya 20,000 pelarian dan pencari suaka di Kem Pelarian Tongogara berhampiran sempadan Mozambique yang telah terjejas, yang menyaksikan sejumlah 5,300 orang terjejas teruk selepas 1,060 rumah musnah,” kata wakil bagi Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) di Zimbabwe Robert Tibagwa di sini semasa penyerahan sejumlah 80 tan metrik barangan yang disumbangkan kepada kerajaan negara itu.

Kem Pelarian Tongogara terletak di pinggir pekan Chipinge, yang musnah teruk selepas dilanda siklon tropika itu.

Pencari suaka dan pelarian dari Mozambique, Rwanda, Republik Demokratik Congo serta Somalia kini ditempatkan di Kem Tongogara.

Tibagwa juga berkata, infrastruktur air dan sanitasi telah musnah dengan tandas serta lubang gerek ditengelami air, yang menyebabkan berlaku pencemaran dalam bekalan air minuman.

Dianggarkan bahawa sejumlah 90,000 orang kehilangan tempat tinggal di sembilan daerah terutama di bahagian timur negara itu, dengan lebih 200 orang maut manakala kira-kira 300 lagi hilang dan 250,000 terjejas secara keseluruhan.

UNHCR adalah sebahagian daripada pasukan kemanusiaan yang bekerja rapat dengan kerajaan Zimbabwe bagi memastikan orang ramai menerima bantuan dan perlindungan daripada pelbagai risiko serta bahaya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :