SELANGOR

639 pemimpin MPKK sertai kursus induksi pengurusan kampung

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SERI KEMBANGAN, 4 APRIL: Seramai 639 pengerusi dan setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) seluruh Selangor menghadiri Kursus Induksi anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), di Hotel Palace Of The Golden Horses, di sini.

Kursus yang dikendalikan Institut Kemajuan Desa (INFRA) itu diadakan selama dua hari, bermula 3 hingga 4 April lalu.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, program itu bagi memastikan semua ketua kampung cekap menguruskan kampung masing-masing.

“Pelbagai latihan dan modul diberikan dalam kursus ini antaranya berkaitan tanggungjawab dan peranan MPKK, pemantapan sistem profil kampung serta menjalinkan hubungan dengan agensi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Interaksi Pemimpin Bersama MPKK Negeri Selangor 2019, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan melancarkan program Sarang Ekonomi Desa, pada Jun ini.

Rodziah berkata, program itu bertujuan menambah pendapatan penduduk kampung dengan memanfaatkan segala kelebihan yang ada di kampung berkenaan.

“Tahun ini kita akan mulakan projek percubaan dan tahun akan datang kita pilih sekurang-kurangnya lima buah kampung untuk melahirkan 50 usahawan desa,” katanya.


Pengarang :