NASIONALSUKANKINI

65 pencalonan diterima untuk Anugerah Sukan Negara 2018

PUTRAJAYA, 16 APR: Barisan atlet yang cemerlang pada dua temasya sukan tahun lepas mendominasi pencalonan untuk Anugerah Sukan Negara 2018 (ASN 2018) yang dijadual berlangsung pada 23 April ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk berangkat ke majlis diadakan sejak 1966 itu bagi mengiktiraf kejayaan cemerlang sepanjang tahun yang dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan pertubuhan sukan tanah air.

“Sebanyak 65 pencalonan diterima daripada persatuan sukan kebangsaan (NSA), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

“Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan hari ini menyenarai pendek calon-calon dan memilih pemenang bagi setiap kategori dipertandingkan,” kata Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan ASN 2018 yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Dr Waitchalla R.R.V.Suppiah di sini hari ini.

“Antara nama untuk dipertimbangkan adalah Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal), Rafiq Ismail (boling), Mohd Syahrul Azman Mahen (bina badan), Latif Romly (olahraga para), Muhammad Ziyad (olahraga para) dan Mohamad Ridzuan Puzi (olahraga para).

“Bagi calon wanita pula, kita ada S. Sivasanggari (skuasy), Siti Zalina (boling padang), Siti Safiah Amirah (boling), dan lain-lain lagi,” kata Ahmad Shapawi.

Beliau berkata calon disenarai pendek itu adalah bagi memudahkan kerja pemilihan dibuat, namun beliau enggan menamakan calon yang disenarai pendek dalam 11 kategori dipertandingkan.

“Ini tidak bermakna calon lain yang dicalonkan untuk kategori berkenaan tidak mempunyai pencapaian terbaik. Kita tidak mahu timbul rasa tidak puas hati dan tidak dihargai,” katanya.

Menurut beliau, asas pemilihan untuk ASN 2018 menjurus kepada kecemerlangan atlet pada Sukan Asia dan Sukan Komanwel serta kejohanan-kejohanan dunia sepanjang 2018.

Majlis berkenaan akan turut disiarkan secara langsung menerusi RTM bermula 9.30 malam.

Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan, masing-masing akan menerima sebuah piala, piala iringan, sijil dan hadiah wang tunai RM20,000.

Selain itu, anugerah juga akan diberikan kepada pasukan lelaki dan wanita kebangsaan, jurulatih lelaki dan wanita, anugerah tokoh sukan, anugerah kepimpinan sukan dan anugerah khas.

Anugerah itu juga sebagai dorongan dan motivasi kepada penggiat sukan negara untuk sentiasa mempertingkatkan mutu dan prestasi mereka dari semasa ke semasa.

Anugerah berprestij itu sentiasa menjadi kebanggaan bukan sahaja kepada pemenang bahkan kepada seluruh warga sukan negara.

SUMBER: BERNAMA

FOTO EHSAN: MAJLIS SUKAN NEGARA (MSN)


Pengarang :