NASIONAL

91 laporan polis kerana hina Agong – Fuzi

KUALA LUMPUR, 13 APR: Sebanyak 91 laporan polis telah diterima setakat semalam berhubung status dimuatnaik oleh pemilik Facebook ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ yang menghina dan mencerca Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM 5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

Fuzi menambah, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan media sosial atau mana-mana rangkaian komunikasi, untuk membuat sebarang bentuk provokasi yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam dan juga kesejahteraan masyarakat.

Terdahulu, satu status dimuat naik di laman Facebook ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ tular di media sosial sejak beberapa hari lalu memaparkan gambar Yang di-Pertuan Agong diubah suai yang menghina dan mencerca baginda.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :