SELANGOR

924 unit rumah terbengkalai lebih 20 tahun diselamatkan

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 30 APR: Kerajaan Negeri mengambil inisiatif bagi memulihkan semula dua projek terbengkalai membabitkan 924 unit Perumahan Topaz dan Kristal di Taman Selayang Mutiara di sini.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, projek bermula pada 2004 itu sepatutnya perlu disiapkan pada 2007.

“Projek terbengkalai iaitu projek Perumahan Topaz dan Kristal di mana pemaju asalnya sudah pun digulungkan dan sekarang di bawah pelikuidasi.

“Mereka sudah tengok keadaan bangunan dan sudah ada pemaju penyelamat berminat tetapi pada masa ini terdapat beberapa perkara perlu diselesaikan bagi menampung kos pemulihan projek ini,” katanya selepas melakukan lawatan tapak projek terbabit di sini, hari ini.

Haniza berkata, kemajuan kerja bagi Projek Perumahan Kristal dianggarkan mencapai kira-kira 60 peratus manakala Topaz pula masih belum dimulakan pembinaannya.

Katanya, bagi Projek Perumahan Topaz, pemaju akan meminda cadangan asal projek daripada rumah kos rendah kepada Rumah SelangorKu.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri perlu mencari penyelesaian terhadap isu pemindahan tiga buah rumah setinggan yang terletak dalam kawasan projek terbabit.

“Kerajaan Negeri sudah mengarahkan Pejabat Tanah Gombak mengenal pasti tanah sesuai kerana kita perlu selesaikan isu pemindahan tiga rumah setinggan di sini dahulu dengan pilihan sama ada diberi tanah atau dipindahkan ke tempat lain supaya projek ini boleh dimulakan.

“Kita berusaha memastikan supaya projek ini dapat disiapkan kerana rata-rata unit Kristal sudah ada pembeli di mana mereka terpaksa membayar hutang bank begitu sahaja walaupun rumah dibeli terbengkalai,” katanya.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)


Pengarang :