SELANGOR

ADN galak majikan daftarkan PERKESO, KWSP

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 1 APR: Majikan digalakkan mendaftarkan pekerja mereka menerusi caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Shatiri Mansor berkata, pendaftaran kedua-dua caruman terbabit adalah penting memandangkan ia sudah termaktub dalam peruntukan undang-undang.

Katanya, pekerja tidak perlu takut atau khuatir untuk menegakkan hak sekiranya majikan tidak mendaftarkan mereka dalam caruman terbabit.

“Sebagai ADN Kota Damansara saya mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke Pusat Khidmat Masyarakat saya di Star Avenue untuk mengetahui maklumat lebih jelas berkenaan hak pekerja dan KWSP serta PERKESO.

“Pusat khidmat saya dibuka dari jam 9 pagi hingga 6 petang (Isnin-Jumaat), namun sekiranya mahu berjumpa terus dengan saya boleh hadir pada Rabu jam 6 petang hingga 10 malam bagi membincangkan isu berkaitan hak pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Ops Kesan Bersepadu PERKESO-KWSP di sebuah restoran di Damansara, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ops Kesan Bersepadu PERKESO-KWSP itu dijalankan serentak seluruh Malaysia manakala pelancaran peringkat Kebangsaan di Pulau Pinang.

Difahamkan, sehingga jam 12.15 tengah hari tadi, sebanyak 979 lawatan dibuat ke atas premis seluruh Malaysia manakala jumlah saman dikeluarkan adalah 119,119.

Manakala, di Selangor, PERKESO menjalankan Ops di 133 premis sekitar Petaling Jaya dan lapan kompaun sejumlah RM5,500 dikeluarkan di bawah Akta Perkeso Seksyen 4/Seksyen 5 setakat jam 12.15 tengah hari tadi.

Sementara itu, KWSP turut menjalankan Ops sama ke atas 126 premis dan mendapati 21 majikan tidak berdaftar, operasi itu akan diteruskan sehingga 3 petang ini.

 

 

 

 


Pengarang :