PBTSELANGOR

ADN gesa kekalkan zon rekreasi Subang Ria Park

OLEH SHEEDA FATHIL

SUBANG JAYA, 16 APR: Jawatankuasa Perancang Negeri digesa menolak permohonan pemaju yang mahu mengkomersialkan sebahagian kawasan di Subang Ria Park.

Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berkata, sebaliknya kawasan itu perlu dikekalkan sebagai zon rekreasi seperti yang sudah termaktub dalam perjanjian.

Katanya, seramai 1,000 penduduk sekitar kawasan terbabit membantah cadangan untuk memajukan sebahagian daripada Subang Ria Park itu.

“Hari ini, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sudah meminta perbicaraan bantahan berhubung draf pelan tempatan 2035 dan saya sendiri akan memfailkan bantahan serta akan menghadiri pendengaran pada petang ini.

“Berdasarkan perjanjian, sudah tertulis bahawa tanah ini hendaklah digunakan semata-mata untuk taman rekreasi dan bangunan yang berkaitan dengannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang sedia selepas menyertai pendengaran bantahan rancangan tempatan bersama wakil penduduk Subang Ria Park di MPSJ, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, Subang Ria Park itu tidak sesuai sekiranya dimajukan sebagai kawasan komersial memandangkan pembangunan kawasan itu sudah pesat membangun ditambah dengan kehijauannya yang cantik.

“Kita perlu mengekalkan kehijauan Subang Ria Park ini sebagai zon rekreasi kerana ia penting untuk komuniti membina hubungan dan melakukan aktiviti santai.

“Justeru, saya menggesa bagi menggalakkan aktiviti itu terus dikekalkan kita perlu mempertahankan ia daripada dikomersialkan,” katanya.

Terdahulu, Subang Ria Park seluas 29.39 hektar itu bakal dikomersialkan namun, penduduk sekitar kawasan terbabit membantah projek berkenaan.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)


Pengarang :