SELANGOR

ADN: Kerja pembersihan, naik taraf Sungai Gombak giat dilaksana

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 15 APRIL: Usaha menaik taraf dan membersihkan Sungai Gombak sedang giat dilaksanakan sebagai langkah persediaan menghadapi taburan hujan yang semakin meningkat.

Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata, pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi melihat keperluan mempertingkat usaha membersihkan sungai berkenaan.

Katanya, kerja pembersihan dari Kampung Kerdas sehingga ke kawasan Gombak Utara itu mula dijalankan sejak Januari lalu membabitkan penggunaan dua jentera.

“Ini antara langkah proaktif Kerajaan Negeri untuk memastikan kejadian banjir di kawasan ini tidak lagi berulang memandangkan kejadian yang berlaku baru-baru ini adalah fenomena cuaca di luar jangkaan.

“Jika sebelum ini, kerja pelaksanaan itu hanya bertumpu kepada satu kumpulan sahaja, tetapi kali ini kita sudah mengarahkan JPS untuk bertindak dan ia akan berterusan sehingga semua selesai,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas berhubung sebuah jambatan konkrit yang roboh di Kampung Sungai Cincin sejak 10 tahun lalu, Hilman berkata, pihaknya akan mengambil pendekatan merobohkan sepenuhnya jambatan terbabit.

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, sebagai menggantikan jambatan roboh itu, pihaknya bercadang membina jambatan baharu selepas mencapai persetujuan di peringkat JPS bagi memudahkan pengguna motosikal, khasnya.

“Melalui perbincangan dibuat minggu lalu, kita sudah mengarahkan JPS yang dipengerusikan pegawai daerah minggu lalu untuk mengambil langkah segerah merobohkan jambatan berkenaan.

“Jambatan lama yang menjengah usia 20 tahun ini mengundang kegusaran penduduk setempat, khususnya kepada pengguna motosikal ditambah pula apabila hujan lebat menyebabkan kayu balak tersangkut, sekali gus mengganggu sistem saliran air,” katanya.


Pengarang :