SELANGOR

ADN Morib nafi diri muflis

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 APRIL: Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin, menafikan dirinya muflis seperti yang tular di Whatsapp dan ruangan iklan sebuah akhbar.

Beliau mengesahkannya kepada Selangorkini ketika diminta mengulas perkara demikian.

Katanya, nama yang tertera dalam notis Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 22 Februari lalu oleh sebuah bank itu adalah dirinya.

Namun, notis daripada Jabatan Insolvensi Malaysia menerusi keputusan pencarian kebangkarapan pada semalam menunjukkan statusnya tidak bangkrap.

“Perkara itu masih dalam proses penyelesaian dan aset yang dimaksudkan adalah sebuah kedai strata dilelongkan.

“Pihak bank dan peguam khilaf sehingga keluar notis mahkamah. Pihak bank berkenaan berjanji akan membatalkan notis itu,” katanya ketika dihubungi.

Hasnul berkata, aset terbabit dibeli pada 1999 tidak mendatangkan hasil dan pihaknya sudah menjelaskan bayaran pokok.

“Bagaimanapun, ia cuma keuntungan kepada pihak bank belum habis,” katanya.

Katanya, kekeliruan itu boleh menjejaskan kedudukannya sebagai ADN.


Pengarang :